Monday, September 15, 2008

Jantung Sihat Kunci Kesihatan Badan



Jantung Sihat Kunci Kesihatan Badan

JANTUNG Untuk Kehidupan, adalah tema yang pernah diberikan kepada hari jantung sedunia. Sejauh manakah kepentingan organ ini kepada manusia?

Jantung sebenarnya adalah organ utama dalam sistem kardiovaskular. Ia mampu berdenyut lebih daripada 3.5 bilion kali sepanjang kehidupan dan fungsi utamanya mengepam darah yang membekalkan oksigen dan makanan ke semua bahagian badan.

Dalam keadaan rehat, jantung berdenyut antara 60 hingga 90 kali seminit untuk orang dewasa manakala pada kanak-kanak antara 100 hingga 120 kali seminit.

Semasa berdenyut, darah yang dipam dari seluruh badan pada kadar lima liter akan melalui jantung setiap minit. Tetapi apabila diperlukan, terutama semasa bersenam, jantung berupaya mengepam sehingga empat kali ganda jumlah itu.

Bagaimanapun, jika penjagaan jantung diabaikan seperti tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti senaman, pemakanan dan tekanan, boleh menyebabkan jantung berpenyakit.

Ini kerana statistik kemasukan dan kematian mereka yang menghidap penyakit jantung di hospital kerajaan yang direkod meningkat dari 1985 hingga 1996.

Pada 1985, jumlah kemasukan pesakit jantung yang direkod ialah 58,961 orang dengan 6,205 kematian. Jumlah itu meningkat kepada 101,985 kemasukan dan 7,249 kematian pada 1996.

Penyakit jantung dikenal pasti antara pembunuh utama di hospital kerajaan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang mana masing-masing mencatat 15.82 peratus atau 22,502 kematian; 12.49 peratus dengan 3,346 kematian dan 17.51 peratus dengan 2,302 kematian.

Penyakit kardiovaskular turut dikesan berpunca daripada penyakit darah tinggi yang mana hasil kajian Mobiditi Kebangsaan Kedua pada 1996 menunjukkan hampir 29 peratus penduduk dewasa negara ini mempunyai tekanan darah diastolik dan 53 peratus tidak mengetahui mereka menghidap penyakit darah tinggi.

Hanya 61.4 peratus pesakit yang disahkan menghidap darah tinggi sedang menerima rawatan, 34.5 peratus pernah menerima rawatan dan 41.1 peratus langsung tidak pernah menerima rawatan.

Hampir 30 peratus kematian yang disahkan secara perubatan di negara ini adalah disebabkan kardiovaskular yang menjadi pembunuh utama merangkumi 20 kematian dan angin ahmar lapan peratus.

Penyakit jantung koronari (CAD) dikesan paling kerap ditemui yang dikenal pasti berpunca daripada masalah kegemukan (55 peratus), tekanan darah tinggi (44 peratus), kolesterol tinggi (40 peratus), tidak bersenam (33 peratus), merokok (25 peratus) dan diabetes (18 peratus).

CAD berlaku apabila arteri koronari tersumbat dan ini akan menyekat peredaran darah lalu menyebabkan oksigen yang dibekalkan ke otot jantung tidak mencukupi. Tanda ini boleh dikesan apabila seseorang itu sakit dada (angina pektoris), serangan jantung (infarksi miokardial) dan juga kematian jantung secara mengejut tanpa mengalami sakit dada atau ketidakselesaan sebelumnya.

Jika dilihat punca utama CAD iaitu kegemukan adalah disebabkan kurangnya penjagaan dari segi pemakanan dan gaya hidup masa kini.

Pengambilan makanan berlemak, berminyak, gula dan garam berlebihan tanpa bersenam mengakibatkan rakyat terdedah kepada risiko penyakit jantung sekali gus mengancam nyawa. Penyumbatan arteri berlaku disebabkan aterosklerosis yang juga sebahagian daripada proses penuaan.

Jenis penyakit jantung yang lain adalah, kegagalan jantung yang terjadi apabila jantung terlalu lemah untuk mengendalikan peredaran darah yang mencukupi ke seluruh badan.

Arrhythmia pula adalah sebarang perubahan daripada rentak denyutan jantung yang normal yang adakalanya berlaku secara singkat. Jika arrhytmia berpanjangan, kadar denyutan jantung akan menjadi terlalu lambat atau cepat.

Penyakit injap jantung akan menjejaskan pengaliran darah sehala dalam jantung sendiri sementara penyakit otot jantung disebabkan tisu ruang jantung yang mengepam darah rosak atau terkena jangkitan kuman.

Penyakit pada arteri periferi dan vena boleh menyebabkan salur darah pada anggota tubuh tersumbat, mengembang dan pecah. Darah yang membeku dalam vena boleh bergerak ke paru-paru.

Penyakit jantung kongenital pula membabitkan kerosakan injap dan ruang jantung serta masalah peredaran akibat keturunan, diabetes, rubela atau jangkitan virus pada ibu, penyalahgunaan alkohol dan dadah semasa mengandung.

Bagaimanapun, masih tidak terlambat untuk masyarakat mengambil perhatian terhadap penjagaan jantung.

Di Malaysia, Yayasan Jantung Malaysia (YJM), badan bukan kerajaan yang berperanan menyedarkan masyarakat mengenai penjagaan jantung.

Dalam kempennya sempena Hari Jantung Sedunia 2001, YJM menganjurkan acara jalan kaki sebatu sebagai simbolik kepada penjagaan jantung yang sihat.

Hanya 30 minit sehari berjalan kaki, boleh mengelakkan anda daripada diserang penyakit jantung dan strok; mengawal tekanan darah; mengurangkan kadar kolesterol dalam badan; menguatkan otot dan tulang yang juga mengelak osteoporosis; meningkatkan stamina serta membantu mengawal berat badan, tidur lena di samping menstabilkan mental dan fizikal tubuh.

Antara nasihat yang boleh dijadikan panduan untuk mengamalkan tabiat berjalan kaki ialah, jika anda menggunakan pengangkutan awam, berhenti separuh jalan dan mula berjalan kaki hingga sampai ke tempat kerja, sekiranya menggunakan kenderaan sendiri, sentiasa amalkan berjalan 15 minit sebelum menaiki kereta serta lebih baik menggunakan tangga daripada menggunakan lif.

Jantung yang sihat adalah kunci kepada kesihatan badan. Untuk mempunyai jantung yang sihat juga adalah penting bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit.

Justeru, adalah penting untuk mengekalkan fizikal dan tabiat pemakanan yang sihat bagi mengelak kegemukan selain tidak merokok. Jika tabiat yang baik ini diamalkan, pasti masyarakat mempunyai jantung yang sihat, jantung yang sihat menggambarkan masyarakat yang ceria


Haluan.org.my


No comments: