Monday, July 20, 2009

Syurga



Perlu berhati-hati ketika berbual-bual. Lebih-lebih lagi bila memerlukan penjelasan lanjut. Apatah sekiranya ada kanak-kanak yang mendengar perbualan kita. Bimbang dia akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.

Ibu : Kasihan kat budak yang mati jatuh dari tingkat lapan tu, tapi tak pa ler, sebab nanti akan masuk syurga.

Anak : Mesti budak tu bunuh diri sebab nak masuk syurga.

Bapa : Kalau bunuh diri tak boleh masuk syurga...

Kisahnya kematian kanak-kanak itu adalah dalam kawasan perumahan kami. Ada disiarkan di akhbar Metro.


'Rupa-rupanya anak saya’
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

BAYAN LEPAS: “Saya tidak menyangka pemberian wang simpanan tabung sebelum pergi menunaikan solat Jumaat tanda arwah akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan kami,” kata bapa seorang kanak-kanak perempuan, Nur Qistiena Aidanie Johari, 5, yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah pangsapuri mewah di Teluk Kumbar di sini, semalam.

Johari Halim, 39, ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Paya, Teluk Kumbar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang sejurus dia pulang selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran rumahnya.

Dia berkata, sebelum kejadian, arwah sempat makan nasi lemak berlauk udang dan ikan yang dibeli selepas pulang dari tempat kerja jam 6.30 pagi sehingga habis dan ketika itu, dia sempat melelapkan mata sehingga jam 12 tengah hari sebelum dikejutkan arwah.

“Ketika saya bangun tidur, arwah sempat meminta mengambil beg sekolahnya yang tertinggal di rumah neneknya di Kampung Paya, Teluk Kumbar sebelum saya menyuruhnya pergi mandi untuk dihantar ke pusat asuhan kanak-kanak pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian anaknya itu di Kampung Paya di sini, malam tadi.

Katanya, arwah anaknya ditinggalkan di rumah seorang diri seperti kebiasaannya dan dia sempat mengambil wang RM1 untuk disedekahkan di masjid sebelum arwah secara tiba-tiba memberi wang simpanannya.

“Selepas menunaikan solat, saya segera pulang ke rumah untuk menghantar arwah ke sekolah, namun saya dikejutkan dengan berita yang paling menyedihkan apabila diberitahu jiran ada budak perempuan jatuh dari tingkat lapan.

“Ketika itu, saya tidak menyangka budak yang jatuh itu anak saya tetapi selepas melihat baju yang dipakai, hati ini tiba-tiba menjadi sayu dan sedih apabila sekujur tubuh yang terbaring di atas jalan adalah anak saya,” katanya.

Johari berkata, dia sempat memeluk dan mencium arwah anaknya yang sudah meninggal dunia dan menutup badan arwah sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa ditemui jiran berdekatan.

Beliau berkata, ketika kejadian, tiada sesiapa di rumah berikutan ibu kanak-kanak itu, Siti Aida Abdul Wahab, 39, yang bekerja sebagai ejen insurans, keluar bekerja manakala anak kedua pasangan itu Nur Qaisara Elisya, enam bulan berada di rumah pengasuh.

Mohd Hatta berkata, berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu dipercayai terjatuh dari balkoni di bahagian dapur yang tidak mempunyai palang besi.

“Kanak-kanak itu dipercayai memanjat mesin basuh yang diletakkan di balkoni rumah itu sebelum terjatuh kerana terdapat kesan tapak kakinya di mesin basuh,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan parah di kepala akibat terjatuh dari paras tinggi.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar.

“Mayat mangsa sudah dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Teluk Kumbar kira-kira jam 8 malam tadi,” katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Innalillah hiwainna hirajiun.
Insha Allah syurga miliknya.