Friday, September 12, 2014

50 perubahan peperiksaan sejak sebelum merdeka

Sistem peperiksaan di negara ini telah mengalami pelbagai perubahan, bermula dari zaman sebelum merdeka sehinggalah sekarang yang menyaksikan lebih daripada 50 perubahan, pendekatan dan pembaharuan serta penyesuaian.
Berdasarkan perkembangan sejarah peperiksaan itu yang dicatat dalam laman web Kementerian Pendidikan, sistem peperiksaan di negara ini melalui empat fasa perkembangan.

Bermula zaman sebelum merdeka, sistem peperiksaan di negara ini masih tercari-cari identiti sendiri dan bersesuaian dengan senario pemerintahan ketika itu iaitu zaman penjajahan British.
Peperiksaan yang diadakan pada masa itu adalah mengikut keperluan sekolah berdasarkan peperiksaan luar negeri seperti Overseas School Certificate (OSC).

Pada 1956 Dasar Pendidikan Negara yang ulung diwujudkan hasil pelaksanaan Penyata Razak sekaligus tertubuhnya Lembaga Peperiksaan, yang selain mengendalikan peperiksaan Cambridge turut mengendalikan peperiksaan seperti Malayan Secondary School Entrance Examination (MSSEE) dan Lower Certificate of Education (LCE).
Pada 1960, bagi memperkemaskan Laporan Razak, Laporan Rahman Talib dibentangkan memberi penekanan antaranya, melanjutkan persekolahan kepada umur 15 tahun, sistem naik darjah secara automatik dan pendidikan bercorak aneka jurusan.

Pelaksanaan dalam bidang peperiksaan telah mewujudkan antaranya kemasukan mata pelajaran elektif dalam LCE dan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Penilaian Darjah 5 (PPDL), Peperiksaan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dan Ujian Diagnostik Darjah 3 (UDT).

Pada 1979, pelaksanaan Laporan Kabinet telah mewujudkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Beberapa penyesuaian dilakukan dalam sistem peperiksaan untuk memenuhi hasrat dan kehendak kurikulum dan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Perubahan dan penyesuaian yang dibuat dalam sistem peperiksaan antaranya ialah mewujudkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi menggantikan PPDL, pelaksanaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menggantikan SRP dan penyesuaian terhadap SPM supaya selaras dengan kehendak KBSM.

Secara umumnya perkembangan peperiksaan di negara ini adalah seperti berikut:

1956 -- Unit Peperiksaan ditubuhkan
-- Peperiksaan Overseas Senior Cambridge (OSC) dimansuhkan

1957 -- Malayan Secondary School Entrance Examination (MSSEE) diperkenalkan
-- Peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) diperkenalkan
-- Peperiksaan School Certificate (SC)/Federation of Malaya Certificate (FMC) diperkenalkan

1960 -- Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) diperkenalkan

1962 -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu (SPPTM) diperkenalkan

1963 -- Malayan Secondary School Entrance Examination (MSSEE) dimansuhkan

1964 -- Peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) menggantikan peperiksaan Peperiksaan Federal of Malaya Certificate (FMC)

-- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menggantikan peperiksaan SPPTM
1967 -- Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (PPDL) diperkenalkan

-- Kertas peperiksaan bentuk objektif mula digunakan dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran /Lower Centificate of Education (SRP/LCE) dan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (PPDL)

-- Pemprosesan menggunakan komputer diperkenalkan

1968 -- Kertas tunggal Bahasa Melayu/Malay diperkenalkan dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP)/Lower Certificate Education (LCE) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Malaysia Certificate Education (MCE)

1969 -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM)/ Malaysia Certificate of Vocational Education (MCVE) diperkenalkan

-- Kertas Bahasa Melayu/Malay ditukar nama kepada Bahasa Malaysia dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran(SRP)/Lower Certificate of Education (LCE)

1970 -- Kertas Bahasa Melayu/Malay ditukar nama kepada Bahasa Malaysia dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Malaysia Certificate Education (MCE)

1972 -- Ujian Lisan Bahasa Malaysia bagi peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) diperkenalkan

-- Ujian Lisan Bahasa Inggeris bagi peperiksaan SRP diperkenalkan

-- Peperiksaan Sijil Perdagangan Malaysia (SPDM)/ Malaysia Commercial Certificate Examination (MCCE) diperkenalkan

1973 -- Ujian Darjah Tiga (UDT) diperkenalkan

-- Ujian Lisan Bahasa Malaysia bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Malaysia certificate of Education (MCE) diperkenalkan

1976 -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (Julai)-SPM(J) untuk mata pelajaran tunggal Bahasa Malaysia diperkenalkan

1978 -- Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) menggantikan peperiksaan Lower certificate Education (LCE) di seluruh Semenanjung Malaysia dan di Sabah

-- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Malaysia Certificate of Education (MCE) diambil alih sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan (LP) daripada University of Cambridge Local Examinations Syndicate (UCLES)

1980 -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menggantikan peperiksaan Malaysia Certificate Education (MCE) di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah

1981 -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) menggantikan peperiksaan Malaysia Certificate Of Vocational Education MCVE

1982 -- Ujian Darjah Tiga (UDT) dimansuhkan

1983 -- Ujian Lisan Bahasa Melayu bagi peperiksaan Lower Certificate Education (LCE) dimansuhkan. Kemudian Ujian Lisan Bahasa Inggeris bagi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dimansuhkan

1985 -- Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) menggantikan peperiksaan Lower Centificate Education (LCE) di Sarawak -- Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) menggantikan peperiksaan Lower Certificate Education (LCE) sepenuhnya

1987 -- Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (PPDL) dimansuhkan. -- Peperiksaan Sijil Pelajaran MaLaysia (SPM) menggantikan peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) di Sarawak. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menggantikan peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) sepenuhnya

1988 -- Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diperkenalkan di semua sekolah. Peperiksaan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) ditukar menjadi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional) - SPM(V). Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional) SPM(V) diiktiraf setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

1992 -- Kertas Bahasa Malaysia ditukar nama balik kepada Bahasa Melayu dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran 
(SRP). -- Kertas Bahasa Malaysia ditukar nama balik kepada Bahasa Malaysia dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

1993 -- Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menggantikan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sepenuhnya, mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

-- Penilaian kerja kursus dalam peperiksaan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) diperkenalkan

-- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam format baru mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) diperkenalkan.

-- Penggunaan kalkulator bagi mata pelajaran Prinsip Akaun dan Matematik Tambahan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional) (SPM(V)) dibenarkan.

-- Pendaftaran calon bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menggunakan disket diperkenalkan.

1994 -- Format baru Ujian Lisan Bahasa Melayu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional) (SPM(V)) diperkenalkan

-- Manuskrip bentuk akhir kertas soalan mula disediakan secara Naskhah Sedia Kamera (NSK)/ camera ready copy CRC).

1995 -- Format baru pengujian mata pelajaran Matematik dengan kemasukan kertas subjektif bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diperkenalkan.

-- Pelaporan penilaian Perkara Asas Fardhu Ain (PAFA) bagi semua peringkat peperiksaan diperkenalkan.

-- Syarat baru kemasukan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperkenalkan.

-- Tiga mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan (Jentera, Awam dan Elektrik & Elektronik) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperkenalkan.

-- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (Julai) (SPM (J)) bagi mata pelajaran tunggal Matematik diperkenalkan. Ujian Kelayakan dimansuhkan.

1996 -- Peperiksaan Penilaian Tahap Satu (PTS) diperkenalkan

-- Format baru pengujian mata pelajaran Bahasa Inggeris dengan kemasukan elemen subjektif bagi peperiksaan Ujian 

Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diperkenalkan.

-- Kertas Bahasa Punjabi dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) diperkenalkan.

-- Kertas Reka Cipta dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperkenalkan.

-- Penilaian kerja kursus untuk mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan (Jentera, Awam dan Elektrik & Elektronik) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperkenalkan.

-- Penggunaan kalkulator dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional) (SPM (V)) dibenarkan kecuali bagi Kertas Matematik (Kertas1).

1997 -- Kertas Sains Bertulis dan Penilaian Kerja Amali (PEKA) dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diperkenalkan.

-- Kemasukan elemen Reka Cipta dalam pengujian mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di peringkat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diperkenalkan.

-- Kertas Bersama LPM - UCLES (1119) Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperkenalkan. Teknologi Kejuruteraan diperkenalkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

1998 -- Kaedah `patching' untuk kertas Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (termasuk Sijil Pelajaran Malaysia SPM(J)) dimulakan.

1999 -- Peperiksaan Amali bagi mata pelajaran Sains Tulen dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diganti kepada Penilaian Kerja Amali (PEKA).

-- Kertas Amali Bertulis bagi mata pelajaran Sains Tulen diperkenalkan untuk calon Persendirian/Perseorangan
Peperiksaan Sijil Perdagangan Malaysia (SPDM) dimansuhkan mulai tahun 1999.

2000 -- Sistem Pensijilan Terbuka diperkenalkan di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

-- Kertas Teknologi Maklumat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)di perkenalkan

-- Ujian Lisan dijadikan syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan ia tidak dilaporkan berasingan.

2001 -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (Julai) ditukar menjadi Sijil Pelajaran Ulangan (SPM Ulangan).

-- Format baru kertas Bahasa Melayu (1103) dan kertas Bahasa Inggeris (1119)di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperkenalkan

-- Peperiksaan Penilaian Tahap Satu Aptitud (PTS Aptitud) - komponen kendalian Lembaga Peperiksaan dimansuhkan (Eksesais melangkau kelas dari Tahun 3 ke Tahun 5 ditamatkan).

2002 -- Ujian Lisan berdasarkan sekolah bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperkenalkan dan dimulakan dalam Tingkatan 4.

-- Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ialah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang ditubuhkan pada 1 Februari 1980, di bawah Undang- Undang Malaysia, Akta 225, Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980. Majlis pelancaran telah dilakukan pada 22 April 1980 oleh YB Dato Musa Hitam, Menteri Pelajaran pada ketika itu.

-- MPM ditubuhkan dengan matlamat seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 7, Akta 225, iaitu untuk mengelolakan, tertakluk kepada dan mengikut akta ini, peperiksaan-peperiksaan tertentu dan semua perkara lain yang perlu atau bersampingan dengan peperiksaan- peperiksaan itu.

-- Peperiksaan yang diwartakan ialah peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan ujian Malaysian University English Test (MUET). Peperiksaan STPM bermula dengan peperiksaan tahun 1982.

-- Peperiksaan ini adalah bagi menggantikan peperiksaan Higher School Certificate (HSC)/Sijil Tinggi Persekolahan (STP) yang dikelolakan oleh University of Cambridge Local Examinations Syndicate. Ujian MUET pula bermula pada Disember 1999.

Ujian ini wajib diambil oleh semua pelajar STPM, Diploma, Matrikulasi atau program prauniversiti yang ingin memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) untuk mengikuti program pengajian ijazah pertama.

Petikan dari Utusan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0401&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm#ixzz3D3e1fNlP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: