Thursday, July 3, 2008

Pengajaran matematik

Pengajaran matematik gagal lahirkan pemikir
Oleh SHAMSUDIN ABDULLAH

SEBAGAI pensyarah matematik saya pernah ditanya rakan pengusaha taska sama ada wajar atau tidak taskanya menawarkan kursus kaedah mengira pantas. Saya menjawab tidak ada salahnya kursus itu ditawarkan dengan harapan murid yang dapat mengira pantas akan meminati matematik dan seterusnya akan menceburi bidang sains.

Bagaimanapun jangan menganggap murid yang dapat mengira pantas akan pandai matematik sebab ilmu matematik bukan sekadar ilmu kira-mengira tetapi ilmu berfikir.

Mengikut pemerhatian saya, murid yang mengira pantas hanya pandai matematik peringkat rendah sehingga ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) sahaja. Tidak semestinya mereka dapat menguasai subjek matematik yang lebih mencabar seperti Matematik Tambahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia apa lagi matematik peringkat universiti. Mata pelajaran peringkat tinggi ini memerlukan kebolehan berfikir.

Seterusnya, setelah mengajar beberapa tahun kursus mantik di universiti iaitu kursus yang memerlukan daya fikir lebih tinggi pelajar yang dianggap pandai matematik pun masih menghadapi masalah menguasai mantik.

Hampir setiap kali mengajar tajuk matematik yang paling awal di universiti saya akan bertanya dua soalan paling asas. Pertama, perbezaan di antara nombor dengan angka; dan kedua, maksud simbol-simbol x,y,z, dan sebagainya yang banyak digunakan dalam buku matematik. Pengalaman lalu menunjukkan hampir semua atau semua pelajar tidak dapat memberikan jawapan yang betul bagi kedua-dua masalah ini.

Sebenarnya nombor adalah objek abstrak (tidak dapat dicerap deria yang lima) yang wujud dalam akal kita – misalnya hasil proses membilang. Disebabkan nombor abstrak, kita menggunakan simbol yang digelar angka bagi menulisnya sama ada di kertas, di skrin komputer atau sebagainya. Pendeknya angka adalah simbol nombor.

Bagi soalan kedua pula, kebanyakan pelajar akan menjawab maksud x,y,z itu adalah "anu" iaitu padanan kata dalam bahasa Inggeris "unknown". Jawapan ini tidak salah tetapi tidak tepat dan tidak menolong pelajar memahami tajuk yang sedang diajar. Kata "anu" itu terlampau umum dan boleh ditafsirkan sebagai "pokok", "haiwan", "sayur-sayuran" dan sebagainya. Sebenarnya tafsiran yang dikehendaki bagi simbol-simbol itu adalah "suatu nombor", sebab simbol-simbol itu sememangnya mewakili nombor.

Tanpa pengetahuan tentang makna simbol yang digunakan akan mengakibatkan pelajar sukar memahami konsep bagi tajuk-tajuk yang diajar sedangkan memahami konsep adalah langkah pertama dan utama dalam pembelajaran berkesan. Dalam matematik, selepas memahami konsep yang sering diringkas dalam bentuk rumus - barulah pelajar diajar cara menggunakan rumus itu. Malangnya pengajaran matematik kini terlalu tertumpu ke arah kemahiran
menggunakan rumus.

Mengikut Dr. Syed Muhammad Naqib Al-Attas, ilmu adalah titisan makna. Ini bermakna seseorang yang berupaya menghuraikan lebih banyak makna, tafsiran, pengajaran, dan sebagainya bagi sesuatu simbol, orang itu mempunyai banyak ilmu.

Bukan setakat itu sahaja, pelajar yang telah dilatih berfikir secara kritis berasaskan ilmu matematik akan lebih mudah menguasai ilmu lain dan lebih cekap dan kreatif dalam menyelesaikan berbagai-bagai masalah dalam kerjayanya.


Petikan Utusan Malaysia

No comments: